All News

PROGRAM AKADEMIK UUM DIIKTIRAF AUN-QA DAN MQA

UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar kejayaan manis apabila dua program Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan berjaya mengekalkan Penilaian Pensijilan ASEAN University Network – Quality Assurance (AUN-QA).

aunqa

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kejayaan tersebut. 

Menurutnya, beliau gembira kerana dua program akademik dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) dan Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) telah berjaya mengekalkan Penilaian Pensijilan AUN-QA bagi tempoh lima tahun mulai 22 Januari 2021 hingga 21 Januari 2026.

Katanya, kedua-dua program tersebut telah melalui proses Penilaian Semula Pensijilan AUN-QA secara atas talian selama lima hari pada 16 hingga 18 Disember 2020 dan 21 hingga 22 Disember 2020. 

“Kita ibarat satu tubuh badan yang saling melengkapi antara satu sama lain, justeru pastikan kualiti program akademik yang ditawarkan dan peka dengan perubahan yang berlaku.

“Manfaatkan sebaik mungkin peluang ini walau apa jua cabaran. Marilah kita hadapi bersama dengan penuh semangat dan berani melangkah lebih jauh meneruskan agenda universiti,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil AUN-QA dan Akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi Program Akademik UUM di Bilik Mesyuarat Senat, UUM, pagi tadi. 

Lebih membanggakan katanya, dua lagi program akademik yang telah berjaya mendapat akreditasi penuh daripada MQA iaitu program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (SMMTC) dan Sarjana Politik Ekonomi Antarabangsa (SOIS).

Haim Hilman berkata, kejayaan tersebut adalah berkat kerjasama yang bersepadu dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak yang terlibat membolehkan sesuatu yang sukar dapat dilalui dengan jaya.

Jelasnya, akreditasi program akademik merupakan satu perakuan rasmi kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau juga dikenali sebagai Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) bahawa sijil, diploma atau ijazah yang akan dianugerahkan kepada graduan menepati standard kualiti dan kriteria yang ditetapkan oleh MQA atau badan akreditasi dan selaras dengan Kerangka Kelayakan Malaysia atau Malaysian Qualifications Framework (MQF).

"Akreditasi ini penting kerana kita mahu semua program yang ditawarkan diterima serta diiktiraf majikan di dalam dan luar negara," katanya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Shahimi Mohtar, Dekan Pusat Pengajian,  Ketua Pusat Tanggungjawab dan pegawai kanan Universiti.

Sekian.

 


Sumber : UUM Corporate Comm. back removebg preview